Volunteer
Home About Makna Cancer Treatment Research Inspirational Stories Campaign Nutrition & Cancer Makna Logo
About Makna

Leong Yew Kee

DERINGAN loceng yang kedengaran, langsung tidak disahut. Beberapa kali kami melakukannya, tetapi keadaan daripada dalam rumah di Jalan Sri Permaisuri, Salak Selatan ini, tetap sunyi tanpa sebarang jawapan.

Kami, rakan-rakan MAKNA, hampir mahu mengatur langkah pulang. Dalam hati kami, usaha sudah dicuba, tetapi tiada jawapan yang diterima. Tetapi mungkin takdir sudah menentukan bahawa melangkah keluar daripada kawasan rumah ini bukan sesuatu yang akan kami lakukan.


Leong Yew Kee

Kerana ketika kami sedang bersiap untuk beredar, muncul kelibat sebuah kereta Perodua Viva berwarna putih, dipandu seorang wanita berbangsa Cina memasuki perkarangan rumah. Dengan senyum terukir di wajahnya, wanita itu memperkenalkan diri sebagai isteri kepada Encik Leong Yew Kee, pesakit kanser yang ingin kami lawati, dan menjemput kami memasuki rumahnya.

Sebaik melangkah masuk, langkahan kami ke dapur terpaku ke arah Encik Leong yang terlantar di katil berhampiran. Saya menghampirinya dan disambut dengan suara bernada lemah, memberikan penjelasan bahawa dia sebenarnya terlalu lemah untuk cuba menjawab panggilan kami sebelumnya. Daripada susuk tubuhnya yang terbaring itu, memang kami tidak menafikannya. Kesihatan Encik Leong tampak begitu menusuk kalbu. Perasaan sedih, simpati dan terharu bingkas mengisi ruang sanubari kami.

Saya juga terdengar Puan Leong memberitahu rakan saya, Razali, bahawa pad morfin digunakan untuk mengurangkan rasa sakit ditanggung suaminya. Encik Leong juga terpaksa menggunakan lampin pakai buang untuk memudahkannya membuang air kecil dan air besar, terutama kerana Puan Leong sendiri mengakui tidak mampu untuk memapah suaminya secara bersendirian ke bilik air.


Leong Yew Kee

Hanya mereka berdua menginap di rumah itu. Anak-anak sibuk bekerja dan mempunyai komitmen keluarga masing-masing, biarpun mereka tetap patuh hadir mengunjungi kedua-duanya setiap hujung minggu. Belanja seharian juga ditanggung mereka. Cuma, seperti diakui Puan Leong, ada kalanya dia terpaksa tergesa-gesa jika mahu ke pasar, kerana takut meninggalkan Encik Leong bersendirian di rumah.

Jika dilihat, keadaan dalaman rumah itu tiada apa kurangnya. Mesin basuh dan perkakasan elektrik lainnya terjaga kemas. Mungkni persekitaran halaman agak kurang terurus, dengan barang-barang perhiasan berselerak di kawasan tempat letak kereta. Tetapi yang pasti, kepentingan Encik Leong yang menderita, nyata lebih diutamakan.


Leong Yew Kee

Oleh Norazizah Soib
Pelajar Praktikal MAKNA, UiTM Melaka, 1 Dec 2008 – 30 April, 2009


Adm Login | Calender of Events | Makna in News | FAQs | Tell-a-Friend | Photo Gallery | Links | Contact Us

Copyrights © 2006 by Majlis Kanser Nasional (MAKNA).