02 May 2008
Kayuh basikal kutip dana bantu pesakit kanser
IPOH 1 Mei - Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) meminta orang ramai menderma bagi membantu mengisi tabung Majlis Kanser Nasional (Makna) dalam usaha membantu meringankan beban rawatan pesakit kanser di negara ini.
Pengerusi MAYC Perak, Muhamad Yadzan Mohamad berkata, bantuan daripada segenap lapisan masyarakat adalah perlu bagi mengurangkan kos rawatan tinggi yang terpaksa dihadapi oleh pesakit kanser.
"Dalam hal ini saya memuji usaha yang dibuat oleh Persatuan Belia Rawana, Gopeng kerana mengadakan Program Kayuh Makna untuk mengutip dana RM100,000 bagi mengisi tabung Makna.
"Usaha yang mereka buat ini semata-mata untuk membantu pesakit kanser dan membuktikan sikap prihatin belia terhadap Makna," katanya pada majlis pelancaran Program Kayuh Makna 2200 kilometer di perkarangan Jabatan Kebudayaan Belia dan Sukan di sini hari ini.
Majlis pelepasan peserta dilakukan oleh Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Perak, Rahmad Isthnin.
Sebanyak 15 belia berumur di antara 14 hingga 48 tahun menyertai program berbasikal itu bermula hari ini hingga berakhir 25 Mei ini.
Mereka akan berkayuh sejauh 2200 kilometer di seluruh negara bagi mengutip tabung tersebut di samping mengadakan kempen belia benci dadah, Rakan Cop dan promosi pelancongan Perak.
Muhamad Yadzan berkata, MAYC yakin usaha yang dibuat oleh persatuan ini akan mendapat sokongan oleh semua pihak.
Sementara itu, Pengerusi persatuan itu, Noradidah Mokhtar, 43, berkata, pihaknya memperuntukan sejumlah RM30,000 bagi mengadakan program misi berbasikal mengelilingi Semenanjung Malaysia itu.
Katanya, inisiatif tersebut diambil sebagai sikap prihatin dengan nasib pesakit kanser yang menghadapi masalah kewangan untuk membiayai rawatan perubatan.
"Saya telah membuat persiapan sejak beberapa bulan lalu untuk memastikan program ini berjalan lancar," katanya.
Noradidah berkata, sepanjang perjalanan mengayuh basikal selama 25 hari itu, peserta akan mengutip derma daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan orang ramai yang ditemui.
"Sasaran kita untuk mengumpul dana sebanyak RM100,000 dengan meminta sumbangan daripada kira-kira 200 ADUN yang ada di Semenanjung Malaysia dan orang ramai.
"Setiap sumbangan itu mesti dibuat melalui cek terus kepada Makna ," katanya.
Selain mengutip derma, Noradidah menjelaskan, para peserta juga akan mengambil kesempatan mengedarkan risalah berkaitan Rakan Cop, Agensi Dadah Kebangsaan dan pelancongan kepada orang ramai.
Perjalanan mereka hari ini adalah ke Taiping, Permatang Pauh, Sungai Petani, Kangar, Kuala Nerang, Baling dan Gerik.
Dari Gerik mereka akan meneruskan perjalanan ke Puncak Titiwangsa, Jeli, Pasir Putih, Kuala Terengganu, Dungun, Kuantan, Rompin, Mersing, Batu Pahat, Melaka, Port Dickson, Banting, Kuala Selangor, Tanjung Malim sebelum berakhir di Ipoh.
Source by: http://www.utusan.com.my, May 02, 2008