03 December 2009
Sukarelawan cemerlang terima anugerah MAKNA di Kundasang
KUNDASANG: Majlis Kanser Nasional atau lebih dikenali sebagai MAKNA, telah meraikan sukarelawan yang giat menyokong aktivitinya dalam sebuah majlis ringkas yang diadakan di Mesilau Nature Research, Kundasang, Sabah.
MAKNA merupakan sebuah Badan Bukan berorientasikan Keuntungan, menerajui pelbagai usaha bagi membantu pesakit kanser, ahli keluarga mereka dan kumpulan berisiko tinggi di Malaysia.
Program Sukarelawan MAKNA merupakan sebuah usaha penglibatan yang membolehkan sesiapa sahaja yang berminat untuk menyumbangkan tenaga, masa dan kepakaran dalam pelbagai aktiviti.
Aktiviti yang dijalankan merangkumi tugasan pentadbiran, lawatan dan sesi kaunseling penyakit di rumah dan hospital, aktiviti teknikal, mengadakan pameran kesedaran kanser serta usaha pengumpulan dana, yang kesemuanya diuruskan sepenuhnya oleh para sukarelawan MAKNA.
Terdapat hampir 5,000 orang sukarelawan berdaftar dan 400 daripada mereka bergiat secara aktif.
Dalam acara tahunan, Pengasas, Presiden & Ketua Eksekutif MAKNA, Dato' Mohd Farid Ariffin telah menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada sukarelawan yang telah berkhidmat dengan cemerlang dan menjayakan pelbagai program MAKNA di seluruh negeri Sabah sepanjang tahun 2009.

Sukarelawan Sabah, Mona Sofiah @ Dewi Bt Abdul Kahar, menerima sijil daripada Farid.
Kapten Haznain Ngamil telah menerima Anugerah Kepimpinan Sukarelawan MAKNA, Elizabeth Anjun pula merangkul Anugerah Khas, manakala Mona Sofiah @ Dewi Bt Abdul Kahar telah dinobatkan penerima Anugerah Sukarelawan Muda Paling Berpotensi.
"Wira & Wirawati ini telah melebarkan usaha MAKNA dalam memerangi kanser dengan menyentuh kehidupan pesakit kanser yang miskin dan tinggal jauh di pendalaman seluruh negeri Sabah secara langsung" kata Mohd Farid.
Ujar beliau lagi "semangat jurang yang mengalir dalam nadi MAKNA, jelas terpamer melalui kesedihan, kesanggupan berkorban serta dedikasi yang telah mereka tonjolkan."
Empat orang sukarelawan lain telah menerima kemeja-t khas di atas sokongan padu yang telah mereka beri dalam menjayakan kesemua aktiviti yang telah diadakan di Sabah.
Mereka adalah Jibbit Menggala, Mohd Sahid Mujdi, Nestor Petrus dan Abd Wahap @ Ibrahim bin Buyong.
Majlis ini telah diadakan khusus di Sabah sebagai tanda penghormatan kepada semua sukarelawan MAKNA yang bergiat aktif di seluruh negeri Sabah.
Lebih dari 50 sukarelawan telah hadir di majlis ini, dengan kehadiran Penyelaras Program Sukarelawan MAKNA, Fadzilah Wan, bersama Pengurus Kanan MAKNA, Vemanna Appannah, bagi menyaksikan acara bersejarah ini.
Source by: New Sabah Times, 03 December, 2009