21 April 2009
Makna hargai penyelidik muda

MOHD. Farid Ariffin (dua dari kanan) dan Dr. Yusof Basiron (paling kanan) bersalaman dengan para penerima Anugerah Kajian Kanser Makna 2008.
KANSER merupakan salah satu daripada punca kematian utama di dunia. Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah mereka yang mati kerana kanser dijangka meningkat sehingga 45 peratus dari tahun 2007 hingga ke tahun 2030 (daripada 7.9 hingga 11.5 juta kematian).
Sementara itu, kes baru kanser pada tempoh yang sama dijangka meningkat daripada 11.3 juta ke 15 juta.
Pelbagai usaha dilakukan di seluruh dunia bagi mencari penawar kanser dan usaha ini diteruskan dari semasa ke semasa.
Dengan tujuan menggalak serta mendorong penyelidik muda melakukan kajian bagi mencari penawar penyakit kanser, Majlis Kanser Nasional (Makna) telah menganugerahkan pembiayaan berjumlah RM150,000 kepada lima orang penyelidik muda bagi melakukan kerja-kerja penyelidikan.
Kelima-lima penyelidik muda yang menerima Anugerah Kajian Kanser Makna 2008 ialah Dr. Teo Guan Young, Dr. Leong Chee Onn, Inderjeet Singh, Lim Wei Ling dan Teoh Hoon Koon.
Penganugerahan tersebut yang berlangsung dalam satu majlis ringkas di Akademi Sains Malaysia baru-baru ini, membolehkan kelima-lima penerima meneruskan kajian dan penyelidikan di institusi pengajian tinggi masing-masing.
Mereka terpilih daripada 23 orang pemohon dan diberi berdasarkan kepada merit dan jenis kajian yang dilakukan.
Dr. Teo Guan Young dari Institut Biosains, Universiti Putra Malaysia menerima sebanyak RM26,000; Dr Leong Chee Onn dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) (RM43,000); Inderjeet Singh dari Kampus Universiti of Nottingham Malaysia (RM26,000); Lim Wei Ling dari Jabatan Sains Kesihatan, Sekolah Perubatan, Universiti Monash, Kampus Sunway (RM27,000) manakala Teoh Hoon Koon dari Institut Kanser Makna-HUKM, Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia ( RM28,000).
Presiden Makna,
Datuk Mohd. Farid Ariffin berkata, Makna telah mula memberi anugerah bagi projek-projek kajian mengenai kanser sejak tahun 2001 lagi.
Tujuan utamanya ialah bagi membantu para penyelidik daripada segi kewangan agar kajian berjalan lancar.
"Pemilihan pemohon berdasarkan beberapa kriteria seperti telah memperoleh ijazah, projek ini harus diselesaikan dalam tempoh dua tahun serta dijalankan di Malaysia. Mereka juga perlu memberikan laporan mengenai kajian mereka setiap tiga bulan dan melaporkan tentang hasil kajian pada forum tertentu di Malaysia dalam tempoh setahun,'' kata Mohd. Farid.
Beliau menambah, dengan mengiktiraf, menggalak dan bekerjasama dengan para penyelidik, tujuan utama Makna adalah bagi membantu pesakit kanser bukan dengan hanya memberikan rawatan, bantuan kewangan, kaunseling dan sokongan moral, tetapi sejauh mana dapat memulih penyakit tersebut.
Sementara itu, Presiden Akademi Sains Malaysia,
Tan Sri Datuk Dr. Yusof Basiron pula berkata, di seluruh dunia, kajian mengenai kanser dilakukan dengan agresif dan dengan penubuhan Makna pada tahun 1995, Malaysia turut terlibat di dunia antarabangsa bagi mencegah dan mengawal kanser.
"Sejak tahun 2002, Akademi Sains Malaysia telah bekerjasama dengan Makna dan berbangga kerana dapat bersama-sama berusaha ke arah tujuan yang murni ini," ujarnya.
Pada majlis yang sama, Tesco yang bekerjasama dengan Tabung Kehidupan Kanser Makna telah menyampaikan sumbangan cek sebanyak RM324,000 bagi membantu pesakit-pesakit kanser.
Pengarah Hubungan Undang-undang dan Kerajaan Tesco Malaysia,
Azlam Shah Alias berkata, tanggungjawab sosial yang dilakukan oleh syarikatnya menunjukkan mereka turut bersimpati dengan pesakit-pesakit kanser yang memerlukan perbelanjaan yang besar bagi merawat penyakit mereka.
Source by: Utusan Malaysia, 21 April, 2009