21 August 2007
Kempen Kesedaran Kanser MAKNA Jelajah IPTA 2007 Peringkat UPM
Serdang (21 Ogos) - Penderitaan dan kesengsaraan pesakit kanser yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata mendapat perhatian warga Universiti Putra Malaysia (UPM). Hakikatnya, nilai kemanusiaan dan kasih sayang sentiasa subur di UPM sehingga berjaya mengurangkan serba sedikit bebanan kewangan para pesakit kanser yang dikelolakan oleh Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Golongan pensyarah dan pelajar UPM berpeluang beramal jariah melalui kempen Payroll Giving dengan menderma secara potongan gaji serendah RM 1 sebulan dan Sens Saves Lives (SSL) pula usaha menggalakkan sumbangan lebihan wang syiling iaitu 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen.
Strategi efektif insaniah ini menjadi faktor kejayaan Kempen Kesedaran Kanser MAKNA Jelajah IPTA 2007 Peringkat UPM yang dianjurkan secara kerjasama di antara Pusat Kesihatan UPM, MAKNA dan Kementerian Pengajian Tinggi dirasmikan oleh Naib Canselor, Y. Bhg. Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah, di Panggung Percubaan, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,UPM.

Program kesedaran kanser anjuran tahunan MAKNA di badan-badan kerajaan, swasta mahu pun di sekolah-sekolah termasuk di Institusi Pengajian Tinggi di seluruh Malaysia bertujuan meningkatkan pengetahuan orang ramai berkaitan kanser. Seterusnya, dapat memberikan pendedahan tentang aktiviti-aktiviti amal dan kemasyarakatan serta mendidik nilai prihatin generasi muda terhadap golongan yang tidak berkemampuan.
“Saya bagi pihak UPM berjanji kepada pihak MAKNA bahawa UPM akan terus memberi sokongan yang sepenuhnya kepada semua program yang dianjurkan oleh MAKNA pada masa-masa akan datang”, Y. Bhg. Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha R. Abdullah.

Di peringkat UPM program ini bermula sejak 26 Julai 2007 lalu dengan usaha pihak MAKNA mengedarkan borang potongan gaji dan kotak Sens Saves Lives kepada pihak fakulti dan kolej kediaman.
Sesungguhnya hubungan antara UPM dengan MAKNA sangat erat dan sudah terjalin sejak tahun 2001 kerana ramai pensyarah UPM terlibat sebagai penyelidik utama MAKNA seperti Prof. Dr. Aini Idris yang merupakan anggota EXCO MAKNA, Prof. Dr. Azmi Lila dengan penyelidikan In Vito and In-Vito Study of Breast Canser Treated with Local Strain of Newcastle Disease Virus (NDV).
“Saya juga berasa bangga apabila empat penyelidik Muda UPM dianugerahkan MAKNA Canser Research Award kepada Dr. Maha Abdullah pada tahun 2003, Dr. Latifah Saiful Yazan pada tahun 2004, Cik Masriana Hassan pada tahun 2005 dan Cik Leong Pooi Pooi pada tahun 2006”, ucap Y. Bhg. Prof. Datuk Dr. Nik Mustapha.

UPM juga merupakan IPTA yang menerima paling banyak dana daripada MAKNA untuk menjalankan pelbagai penyelidikan. Jumlah dana setakat ini berjumlah RM2,746,000. Malah, dalam usaha untuk menjayakan semua pojek tersebut UPM juga berjaya melahirkan 7 orang pelajar Ph.D dan 21 orang pelajar Master.
Pengasas dan Presiden MAKNA, Y. Bhg. Dato’ Mohd Farid Ariffin turut hadir menyampaikan hadiah kepada Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah sebagai pemenang keseluruhan rekaan arca kotak Sens Saves Lives dan kepada Kolej Enam Belas dan Kolej kedua sebagai hadiah Khas Juri.
Source by: http://www.upm.edu.my, August 21, 2007