27 July 2005
Industri Batik Mampu Jana Pendapatan Negara
Kuala Lumpur 26 Julai - Usaha pelbagai pihak memperkasakan industri batik bukan sahaja mampu menyedarkan orang ramai mengenai kepentingan khazanah tempatan, malah membantu menjana sumbangan signifikan kepada pendapatan negara.

Isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali berkata, jualan batik yang bernilai RM41 juta pada tahun 2003 dapat ditingkatkan melalui usaha berterusan, khususnya yang melibatkan institusi intelektual.
"Acara memperkasakan batik seperti Program Semarak Batuk anjuran Persatuan Wanita Univerisiti Putra Malaysai (UPM) (Permata) dan Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM yang melibatkan pameran, bengkel dan forum adalah usaha yang amat positif.
"Ini kerana ia dapat menggalakkan pencapaian industri batik atau tekstil yang berpotensi memberi sumbangan pendapatan eksport lumayan kepada negara," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada majlis makan malam amal Semarak Batik di sini malam tadi.
Siti Hasmah turut memuji majlis tersebut yang bertujuan mengutip derma untuk disalurkan kepada Majlis Kanser Nasional (Makna) bagi menjalankan kajian da bantuak kepada pesakit kanser.
Menurut beliau, tanggungjawab sosial kepada golongan yang memerlukan harus sentiasa diberi perhatian.
Pengerusi Malaysian National Reinsurance Bhd., Mohd. Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anuar Mohd. Hassan, selaku syarikat penyumbang terbesar menyampaikan replika cek bernilai RM200,000 kepada Siti Hasmah untuk disampaikan kepada Presiden Makna, Datuk Mohd. Farid Ariffin.
Source by: Utusan Malaysia , July 27, 2005